"Miss ni suka dera kitaorang dengan test yang susah. Takde harapan la nak dapat A ni.."
"Miss Fisha punya test memang gila babas punya susah. Susah pun tak sesusah test dia. Hampeh tol la dia ni ..."
Itu adalah rungutan biasa yang selalu daku dapat setiap kali sesuatu ujian berakhir. Susah, tak faham soalan dan segala seribu satu masalah yang sewaktu dengannya. Daku akui, soalan-soalan di dalam kesemua ujian pelajar agak susah. Namun, bentuk-bentuk soalan masih berlegar pada tahap pemahaman dan silibus mereka.
Ada banyak sebab daku berbuat demikian (mungkin selepas ini daku akan dituduh sengaja nak menegakkan benang yang basah ... daku tak peduli. Ini pendapat daku. Diterima atau tidak, daku tetap boleh tidur).
Di saat orang bising-bising bercakap tentang bentuk silibus yang masih berorientasikan peperiksaan, bentuk soalan yang diajukan tetap tidak berubah. Tiada perubahan antara kertas soalan untuk peringkat diploma Pentadbiran Awam dengan soalan Sejarah SPM. Semua menuntut fakta. Aplikasi fakta jarang disentuh (malah hampir tidak pernah!). Lantas, salahkah perbuatan daku?
Pelajar daku harus memenuhi standard dan piawaian daku. Sekiranya tidak memenuhinya, daku kecewa, pelajar hanya jadi pak pandir -- menang sorak, kampung tergadai. Score A, tapi bila ditanya semula tentang perkara yang telah dipelajari, hampir semua tidak dapat menjawab. Seolah-olah tidak pernah belajar.
Ini adalah satu cara daku menyampaikan ilmu. Setiap orang berbeza cara. Walaupun begitu, daku tidak pernah mendakwa cara daku adalah betul. Maka, apa masalahnya?
Daku perlu mencari sesuatu yang menggembirakan pada sesuatu yang sangat membosankan. Mengajar bukanlah sesuatu yang daku gemari, namun ada aspek-aspek tertentu di dalam proses pengajaran yang daku suka. Maka, daku mengeksploitkan aspek itu untuk mendapatkan kepuasan dalam kerjaya daku -- daku puas bila anak-anak ini dapat melihat sesuatu di luar daripada kerangka pembelajaran mereka.
Ramai orang mempunyai kecenderungan untuk merendahkan kebolehan orang lain.
"Soalan macam tu susah la. Budak-budak tu tak boleh menjawab punya. Silap2, diaorang failed, kita pula kena bersoal jawab."
"Hisy, tinggi sangat standard soalan you tu. Tak mampu depa nak jawab tu. Budak diploma, kan tu?"
Itu adalah antara feedback yang selalu daku dapat bila soalan daku dinilai untuk dimasukkan ke dalam kertas soalan akhir. Daku kecewa. Namun, bila daku bertanyakan soalan yang sama di dalam ujian anak-anak ini, kadang-kadang jawapan yang daku perolehi amat menakjubkan. Mereka melihat daripada perspektif yang berbeza dengan kita. Melihat dari kaca mata anak-anak mentah yang masih mencari-cari sesuatu. Itu refleksi diri mereka. Dan tidak salah kalau refleksi yang lemah itu kita kuatkan dengan ilmu yang kita ada -- itulah makna kepuasan bagi diri daku.
Wahai anak-anak, jangan dikenang susahnya belajar, kerana kesusahan itulah pengajaran. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi. Maka terimalah ia sebagaimana dia datang.