** Entri ini bukanlah untuk bicara bagaimana mahu menghadapi peperiksaan, tetapi proses yang melelahkan sebelum pelajar boleh menjawab kertas peperiksaan mereka.
Hampir sepanjang minggu daku berkampung di fakulti di Shah Alam itu, memeras akal dan tenaga untuk menghasilkan set soalan peperiksaan akhir untuk semester ini. Ditambah dengan beberapa kejadian yang memang memeningkan kepala dan menyakitkan hati, daku sangat tertekan untuk tempoh seminggu itu. Dan, daku kira, inilah kewajaran blog ini tiada entri baru untuk tempoh 2 -3 minggu ini.
Sebenarnya proses membuat soalan bukanlah perkara yang susah. Bandingan secara relatif, ia masih mudah daripada mengajar dan memeriksa kertas jawapan pelajar. Namun, yang menjadi masalah, bila keseluruhan proses dirumitkan dengan permintaan yang bukan-bukan.
Semester ini, entah apa rasionalnya, pihak universiti meminta setiap subjek memerlukan 10 set “camera-ready” soalan peperiksaan akhir. Maksudnya, setiap pensyarah harus menyediakan lima set soalan untuk setiap subjek yang diajar. Kalau dikau mengajar 4 subjek, maka, akan ada 20 set soalan. Gila!
Mujur juga daku tersalah membaca arahan (daku baca setiap cawangan menghantar 5 set soalan untuk setiap subjek sedangkan arahan menyatakan setiap pensyarah yang mengajar harus menghantar 5 set untuk setiap subjek!), maka tidaklah merasa sangat bebanannya. Namun, bebanan terasa apabila sebagai resource person dan ketua penggubal soalan, daku perlu mengumpul dan meneliti setiap soalan yang diterima daripada kampus cawangan. Antara fenomena bangang yang sentiasa akan berlaku apabila sampai masa memilih soalan adalah:
- Soalan tanpa skima jawapan yang lengkap – skima yang lengkap harus menghuraikan pembahagian markah yang betul dan garis jawapan yang boleh difahami dengan mudah dan bukannya arahan seperti “based on lecturer’s discretionary” sahaja. Kalau tulis begitu, tak ada gunalah skima menjadi skima. Padaku, itu adalah kerja orang pemalas dan amat tidak amanah dengan kerja.
- Disuruh menghantar 5 set, tapi ada juga yang tak faham-faham, 1 set sahaja dihantar. Sudah lah begitu, set itupun tidak lengkap dan compang-camping sahaja. Ala-ala melepaskan batuk di tangga sahaja. Buat sekadar tidak mahu dikatakan tidak menurut arahan.
- Mengulangi soalan yang sama. Paling teruk, soalan yang di’recylcle’ itu baru sahaja keluar untuk sesi peperiksaan yang lalu. Takkan lah tak ada langsung inisiatif untuk memperelokkan soalan yang akan ditanya? Takkan lah juga soalan yang sama mahu ditanya kepada pelajar? Bagaimana pula kalau masa ujian? Agaknya, inilah contoh pensyarah-pensyarah yang memberikan soalan yang sama sepanjang dia mengajar gamaknya! Bila soalan dia tak naik dalam set, pandai pulak komen yang resource person buat soalan syok sendiri … sedangkan soalan yang diberi tu kualiti yang sangat “haraaam”! (pardon my languange). Sendiri mau ingatlah …
- Soalan yang terkeluar silibus – ini pun sesuatu yang meresahkan daku. Namun, masalah begini tidaklah berapa memberi impak kepadaku kerana kadang-kadang daku pun memberi kuliah di luar silibus. Wajarannya: Daku mahu memberi lebih daripada apa yang sepatutnya. Rupanya soalan di luar silibus kesalahan besar dalam dunia akademik yang berorientasikan peperiksaan ini. Nak buat macam mana. Terima sahaja.
Bagaimana? Apa yang dikau boleh katakan sekarang?
Ini baru sebahagian yang kecil, masih ada lagi cerita lain yang perlu dikau dengar sebelum dikau mengarut menceceh mengenai soalan yang entah apa-apa ... atau mengutuk-ngutuk pembuat soalan peperiksaan dikau.
Semoga, akan ada sedikit ihsanmu terhadap apa yang dikau akan hadapi dalam peperiksaan nanti sebelum menghukum segalanya adalah hanya mahu menyusah atau paling teruk mahu mensabotaj hidup dikau seumurnya.
No comments:
Post a Comment