Sunday, June 08, 2008

Serius: Budi Bahasa Budaya Kita

Ini bukan sekadar nyanyian atau sorakan semata ...

Ini adalah sesuatu yang perlu dipertahankan. Dalam tempoh lima tahun menjadi tenaga pengajar, daku makin menyedari kehausan nilai ini pada generasi kita. Pada mulanya, daku ingatkan ia sesuatu yang retorik apabila ramai mengatakan remaja kita kurang budi bahasa. Tetapi, apabila berpeluang mendampingi dan mengajar golongan ini, kebimbangan masyarakat sangat berasas.

Meski pun secara kasar kita tidak boleh mengandaikan kesemuanya begitu, namun, kiranya sebahagian besarnya begitu, kita tidak akan mampu tidur lena dengan rasa yang tenang.

Mungkin situasi ini boleh memberikan gambaran yang jelas...

Seorang pelajar yang mengulang subjek yang daku ajar telah menghantar SMS untuk bertanya kenapa dia tidak memperolehi grade yang sepatutnya. Dia seolah-olah terlalu yakin bahawa dia telah menjawab kesemua soalan dengan betul, dan kelihatannya amat tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehinya.

Pelajar-pelajar ini selalu daku ingatkan agar "menjawab apa yang soalan tanya, bukan apa yang kamu tahu."Jelasnya, pelajar ini menjawab bukan berdasar kehendak soalan.


Daku tidak marah sekiranya dia beradab dalam bertanya. Dia murid, daku guru, sukarkah untuk difahami? Bukankah kita diajar agar menghormati orang yang lebih tua daripada kita? Menghormati pula bukanlah harus melutut sujud menyembah, tapi sekadar berbahasa dengan elok. Bukannya daku bermegah dengan status daku kepadanya, tapi...!

Sebenarnya pelajar ini telah gagal subjek yang diambilnya dan mengenangkan kegagalannya disebabkan kekurangan beberapa markah, maka daku telah meluluskannya atas dasar kasihan. Namun, dia seolah-olah perasan bagus, dan mempersoalkan kewajaranku memberikan gred C. Pada dia, dia boleh dapat A+ agaknya. Bosan dengan kerenahnya, daku mencabar dia supaya melakukan re-check. Daku sebal!

Sepanjang ingatan daku, sekiranya daku tidak berpuas hati dengan pensyarah daku, daku tidak pernah angkat telefon dan bertanya seperti tiada adab begitu. Daku akan pergi berhadapan dengan beliau dan menyusun kata sebaik mungkin agar pensyarah tersebut boleh tersedar dan mengaku kesilapannnya (sekiranya betul). Sepanjang mengamalkan adab itu, bolehlah daku katakan ia sangat membantu.

Meluat kadang-kadang melihat kebiadaban pelajar-pelajar hari ini. Mereka seolah-olah merasakan oleh kerana mereka membayar yuran pengajian, maka mereka boleh berlebih-kurang dengan para pensyarah. Sekiranya mereka memperolehi gred yang membanggakan, seluruh kejayaan itu adalah atas daya usahanya seorang - dialah yang belajar berhempas pulas, dialah yang memberikan tumpuan sepenuhnya di kelas. Namun, sekiranya dia gagal, pensyarah atau guru tidak pandai mengajar, tidak beri nota, memberi nota terlalu banyak ... Berterima kasih saja tidak, tidak mengenang budi malah!

Ingat, tak kurang maruah kita kalau sentiasa berterima kasih. Pelajar yang baik akan merendahkan dirinya di hadapan guru kerana itulah petanda orang berilmu.

Daku pasti kejadian seperti di atas akan berulang. Namun, daku akan cuba untuk memperbaikinya.

Semoga anak-anak didik daku akan lebih berbudi bahasa selepas ini.


"Kurang budi teraba-raba, tidak ilmu suluh padam."

2 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha

Saya faham generasi sekarang sepatutnya semakin bijak dari kita tapi ada juga yang 'hampeh' dan tak tau makan saman. Bukan saja malas berfikir tapi juga harap nak kena suap saja.

Saya pernah 'diminta' oleh seorang brilliant student CGPA 3 pointer untuk mencarikkan Kanun Prosedur Jenayah edisi terbaru atas alasan tidak jumpa walhal saya boleh saja jumpa dengan beberapa minit saja dalam lawnet.

Tambah marah lagi, boleh pula diminta email kan pada dia. Jangan harap!Terus saja saya matikan perbualan sebab terlalu geram pelajar bijak pun mau disuap! Aduhh...

Cik Peesha said...

Nasiblah Ikmal ... generasi yang serba mudah ... segala nak mudah, susah sedikit dah resah.

Ini cabaran pensyarah ... carilah jalan bagaimana nak mengatasinya dari sekarang ... esok dah mula masuk kelas, senang ...