Sunday, May 10, 2009

Santai Serius: Jangan Bilang Tidak

Ini bukan berkenaan tajuk lagu ya …

Daku menjadi pensyarah belumlah lama. Tahun ini baru tahun ke-enam. Namun, sepanjang enam tahun itu, banyak sudah yang daku lihat, rasa dan alami. Dan, semua pengalaman itu menjadi acuan untuk apa yang daku lakukan hari ini.

Teringat masa mula-mula masuk kerja, banyak kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan tugas hakiki diserahkan kepadaku. Dari perihal menyusun jadual, menulis laporan, menjadi pengiring lawatan pelajar, menjadi AJK Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dan sebagainyalah. Ibarat kata si Labi dalam filem Labu Labi: “Selagi tak tutup mata, kerja, kerja, kerja.”

Begitulah keadaannya. Kesemua itu diterima dengan sepenuh hati – walau ada rasa mahu memberontak disebabkan tekanan kerja, amanah tetap dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Namun, dalam masa yang sama, ada satu rasa yang sukar diungkapkan kala kerja-kerja itu mendapat pengiktirafan dari pihak tertentu. Terasa mahu selamanya menyumbang kepada institusi ini. Dan, kukira, itulah yang menerbitkan komitmen untuk lebih memberi.

Tambahan, menyedari bahawa daku adalah orang baru, di tempat baru, daku cuba mengambil resam, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak (daku suka tambah: masuk kandang babi, menyondol :p). Bukanlah mahu menunjuk rajin, cuma ada rasa mahu merasai kerja-kerja berpasukan itu.

Selepas enam tahun, daku menyaksikan pensyarah lama yang bersara dan kehadiran pensyarah baru yang muda cergas, daku mengesan satu fenomena yang daku rasa sedikit tidak kena. Apa dia?

Terdapat pensyarah baru yang terang-terangan menolak sebarang bentuk jawatan yang boleh dianggap menyumbang kepada universiti – hanya kerana jawatan itu tidak berbayar dan jawatan itu memerlukan dia memberi komitmen yang lebih di luar tugas hakiki. Yang mahu dipentingkan bagaimana mahu naik pangkat dengan cepat dengan banyak menulis dan membuat penyelidikan. Bukan sedikit kes, bila dipilih menganggotai jawatankuasa tertentu, muncung bibir boleh diikat buat penyangkut baju. Membentak-bentak tidak mahu. Tapi, kala mengisi SKT, tiba-tiba muncul segala macam aktiviti. Hairan juga daku. Tapi, berbaik sangka sajalah. Rezeki dia kot.

Ya, daku akur, penulisan dan penyelidikan terlalu penting untuk perkembangan karier seorang pensyarah. Namun, memberi sedikit sumbangan kepada institusi kita bekerja tanpa mengira ada bayaran atau tidak, daku kira adalah satu bentuk social responsibility – lebih kurang bermaksud – orang memberi kita merasa, orang berbudi, kita berbahasa.

Penulisan dan penyelidikan akan memberi manfaat kepada kita sahaja (manfaat daripada penulisan dan penyelidikan kepada orang lain itu, lain cerita) maksudnya, kalau banyak tulisan dan penyelidikan, cepatlah kita naik pangkat. Dan, pangkat itu selalunya dinikmati oleh kita sahaja. Apa pula kisahnya dengan memberi khidmat lebih daripada yang diminta?

Tidakkah kita terasa mahu berjasa kepada institusi yang membuatkan kita mendapat pangkat?

Tidakkah kita mengira bahawa banyak peluang yang telah disediakan oleh institusi supaya kita boleh menggapai cita-cita kita?

Semua itu adalah pilihan. Dan, sememangnya daku suka mengulang frasa, hidup adalah pilihan. Tiada yang salah dan tiada yang betul. Yang ada hanya pilihan demi pilihan. Kalau mahu bilang tidak, itu juga sebuah pilihan, bukan?


"You only live once, but if you do it right, once is enough" – tak ingat siapa yang kata ..

7 comments:

nj said...

Cik Peesha...
I had that once 'chance' and I had it enough!!! Mungkin itu ketentuan Allah 'melarikan' diriku daripada dunia yang mengejar 'pangkat'!!
Namun segala pengalaman dan 'ilmu' yang ku timba itu AMAT bermakna buat diriku!!!
UiTM DIHATIKU!!!!

Cik Peesha said...

NJ:
Lucky you having that chance ... but, after all life is like a roller coaster ride ... there's ups and downs ... and at the end how much we affected our lives as well others that matter most.

Have a nice day!

shariza said...

Fisha, bagus ada lecturer macam Fisha nih. Kerja yang diberi nampak ikhlas. Allah akan membalas sesuatu yang lebih tanpa kita sedari dengan kerja2 sebegini.

Situasi Fisha sama dengan situasi Paksu Eija yang baru 5 tahun kat USM. Tengok dia macam kena buli pulak tapi dia buat jugak kerja dengan penuh semangat.

Cik Peesha said...

Eija:
Nak declare kita ni ikhlas ke tak adalah sesuatu yg impossible. Kita kata ikhlas, tp nilaian Allah tak tahu macam mana ...

Tp, teringat kata2 ustaz SaifulIslam: Kalau hati rasa tenang dengan kebaikan, insyaAllah, perbuatan dan tindakan kita di jalan yang betul.

Harap2 begitulah selamanya.

ikmal said...

Ya nasihat yang berguna, tidak ralat pabila mendapat amanah harus ditunaikan namun biasala terlalu muda belum tentu kata-katanya mahu didengari oleh pihak atasan bukan?

Cik Peesha said...

Ikmal:
Saya kira ini bukan soal didengar atau tidak ... ini mengenai kesudian untuk memberi sumbangan. Don't obsess with what people say.

Untuk masalah didengar atau tidak, perlu ada cerita lain pulak. Yang penting, jangan bilang tidak pada setiap peluang untuk memberi sumbangan kepada tempat kita berkhidmat.

ikmal said...

OOOOyea clap clap clap ;p