Tuesday, December 30, 2008

santai Serius: Diajar, Mengajar dan Belajar - siri 1

Suka daku nyatakan bahawa sekarang ini daku telah berjaya melengkapkan kitaran kehidupanku sebagai pelajar dan pengajar. Belajar dan diajar pun sudah, mengajar juga sudah. Maka, sekarang ini, daku menghadapi hidup dengan menjalankan kesemua ini di atas satu jalan. Maksudnya, sambil mengajar, daku merelakan diri diajar dan belajar. Satu proses yang infiniti selagi kita bernafas dan selama kita mahu.

Tapi, kali ini, daku sekali lagi mahu bicara mengenai menjadi pensyarah yang berjaya.

Walaupun tiada satu petua yang benar cocok, namun, sekiranya ada nasihat yang baik, mengapa tidak diambil pengajaran, kan? Nasihat ini datangnya daripada Edwin Rosinski, profesor dan pengarah di pejabat Pendidikan Perubatan Universiti California, San Francisco yang dibentangkan kepada ahli Persatuan Kolej Farmasi Amerika di Seminar Perguruan 1987.

Ada 27 item yang diutarakan oleh Rosinski, dan daku akan bicarakan berdikit-dikit, 5-6 item sekali perbincangan.

Sekiranya ada antara dikau, pelajar-pelajarku yang membaca entri ini, sudilah kalian respon kepadanya kerana hanya dikau yang menjadi penilai utama setiap apa yang daku lakukan di kelas.

Bolehkah dikau menolong daku? Daku harap dikau tidak keberatan ...


Pesyarah yang berjaya (atau yang baik itu ...) adalah:

Presents material clearly and logically – mempersembahkan material pengajaran dengan jelas dan logik. Setakat ini, cara utama yang daku praktis bila mengajar adalah “talk and chalk”. Daku persembahkan perbincangan dalam bentuk kata kunci, dan daku akan bersyarah berdasarkan kata kunci tersebut. Pelajar perlu menguasai teknik mengambil nota, kerana mereka perlu menilai keseluruhan syarahan itu, yang mana perlu, yang mana tidak. Cara ini sebenarnya tidak berapa digemari oleh pelajar, kerana mereka bukanlah manusia yang gemar bersusah payah. Mereka tersangat suka kita memberikan segalanya kepada mereka – menggariskan apa yang penting, menyusun fakta untuk mereka dan segala-galanya. Namun, maaflah, daku tidak berkongsi value dan preference yang sebegitu. Ya, daku golongan oldschool yang sentiasa percaya no pain, no gain. Sesuatu yang mudah didapati, akan cepat hilangnya. Maka, konsep bersusah payah dalam mendapatkan ilmu sangat daku hargai. Daku mahu dikau semua sama merasai kemanisan meraikan rasa susah payah itu. Kalau dikau fikir susah payah itu halangan, dikau telah membuat satu keputusan yang sangat tidak wajar. Kesusahan itulah yang bakal memberikan kekuatan di saat tidak terjangka. Percayalah.


Enables the student to understand the basic principles of the subject – membolehkan pelajar memahami perkara asas dalam subjek yang diajar. Itulah pentingnya kita bermula dengan memberi overview keseluruhan subjek sebelum kita meneruskan pengajaran. Lakukan secara direct atau indirect. Sewajarnya secara direct, iaitu semasa setiap kali memulakan pengajaran. Daku sukakan indirect (memahamkan mereka secara tersirat – kerana bila menerang yang tersirat kita lebih bebas untuk menasihat atau menyindir mereka di samping memahamkan mereka). Selebihnya, bergantunglah cara mana juga yang selesa kerana apa yang diharapkan adalah kefahaman mereka. Jangan berlepas tangan dengan mengatakan, “I don’t care whether you understand or not,” kerana ini membawa konotasi pelajar lembab memahami. Kadang-kadang terlepas juga mulutku mengucapkan begitu apabila kita bersungguh-sungguh menerang, mereka tetap diam, kaku, tanpa sebarang reaksi. Wajarkan begini saja: kita berhak mengucapkan kata-kata ini seandainya memang ketara kita yang lebih bersungguh memberi, sedangkan mereka seperti mahu tak mahu sudi menerima.


Can be clearly heard – boleh didengar dengar jelas. Sukakah dikau dengan orang yang bercakap seperti di dalam kelambu? Berbisik-bisik sahaja. Dalam penyampaian ilmu, pastikan apa yang disampaikan boleh didengar dengan baik. Bagaimana? Sebolehnya, bila bercakap, pastikan sebutan dikau adalah jelas – tak kira lah dalam bahasa apa sekalipun syarahanmu itu disampaikan. Jangan menelan perkataan yang dikau tidak tahu. Cara mudah, sebelum ke kelas, pastikan segala bentuk sebutan yang memberi masalah untuk disebut dijelaskan. Maklumat di hujung jari – dikau boleh saja menaip perkataan tersebut pada mirriam-webster dictionary, dan dia pasti sudi menerangkan. Atau, secara quick-solution, tanya saja pensyarah bahasa – moga-moga mereka itu orang yang fasih bila berbahasa.


Makes material intelligibly meaningful – menyediakan material yang berguna dan bermakna. Siapa tidak mahu dikatakan bijak? Frasa bijak itu sendiri sangat tinggi nilainya. Maka, terjemahkanlah kebijaksanaan seorang pensyarah itu kepada material yang diberikan kepada pelajar. Bagaimana membuatkan material dikau bijak dan bermakna? Walaupun dikau telah mengajar subjek yang sama sejak sekian lama, jangan dikau biarkan notamu itu tidak dikemaskini. Janganlah dikau berpuas hati memberikan pelajarmu nota yang sama yang dikau pelajari 10-15 tahun dulu. Sedarkah dikau yang dunia hari ini bergerak terlalu pantas? Mahukah dikau dipersalahkan sekiranya pelajarmu tersekat di kapsul masa dengan mempercayai bahawa apa yang diajar oleh pensyarah mereka menggunakan nota lampau boleh menyelesaikan masalah hari ini? Kita ini mahu menghasilkan generasi yang cepat berfikir dan cepat bertindak. Nota lama biarkan jadi sejarah, berikan mereka sesuatu yang kontemporari dan gunakanlah kekuatan dialektik mu untuk memaknakan pemikiran dikau dan mereka.


Maintains continuity in the course – memastikan kesinambungan di dalam kursus. OK, pertamanya, daku pun kurang pasti apakah kesinambungan itu. Namun, daku rasa, kesinambungan itu bermaksud ada flow yang sempurna apabila dikau menyampaikan lecture. Dengan kata lain, mengikut bab yang dirangka. Bagaimana mahu memastikan kesinambungan itu? Di sinilah letaknya kepada perancangan kuliah yang sistematik. Jangan diingat perancangan kuliah itu hanya perlu untuk tujuan audit sahaja. Ia sangat membantu dikau dalam merangka keseluruhan penyampaian ilmu itu. Manusia kan tidak lepas daripada lupa? Maka, perancangan kuliahmu itu jawapan yang baik kepada maksud kesinambungan itu.


Has a democratic approach – mempunyai pendekatan yang demokratik. Democratic approach? Sejauh mana mahu menjadi demokratik? Idea demokrasi sebenarnya bermaksud, semua orang (pelajar dalam kes ini) mempunyai hak yang sama di dalam kelas – hak untuk bertanya, berdiam diri dan sebagainya. Maka, dalam konteks kelasmu, sebaik mungkin jauhilah perbuatan diskriminasi dan favoritisme itu. Diskriminasi akan membuatkan pelajar berasa sangat jauh daripadamu dan favoritisme itu membuatkan mereka merasa bahawa tiada guna mereka berada di kelasmu. Apabila itu terjadi, kelasmu tak ubah seperti sebuah negara apartheid. Lebih daripada itu, bagaimana dikau akan menjawab sekiranya hancurnya kehidupan seorang pelajar hanya kerana sikap tidak demokratikmu itu? Layan semua dengan sama walaupun hatimu terlalu ingin memberi perhatian kepada yang tertentu. Dikau tidak dibayar untuk memberi perhatian hanya kepada seorang pelajar, bahkan semua. Demokratik secara mudah bermakna, membenarkan semua pelajar mengambil bahagian di dalam kelas dan menerima segala bentuk pandangan dan jawapan mereka tidak kiralah sejauh mana tidak bersetujunya dikau dengan jawapan itu. Kalaupun mereka salah, itu adalah sesuatu yang normal dan classroom is the place where you are supposed to do mistakes without fear of being punished. Jangan memaksa mereka bersetuju dengan pandanganmu kerana paksaan jarang membuahkan keputusan yang baik. kalaupun harus memaksa, lakukan secara subtle supaya tidak terkocak ego intelek mereka.


Mendidik generasi kini perlu lebih daripada sekadar menarik rambut di dalam tepung. Hormatilah mereka dan jangan dimalukan mereka di hadapan rakan, kerana tiada siapa yang rela dimalukan hatta sehina-hina makhlukpun. Respect is earned after all.

Bagaimana?

Ya, menjadi baik itu kadang-kadang mudah, namun selalunya agak sukar juga. Maka, gunakanlah logika dan kemanusiaan mu untuk memudahkan segalanya. Sekiranya tidak dapat dilakukan semua, jangan ditinggalkan semua. Tiada sesiapa yang berhak mendakwa cara ini atau cara itu betul, kerana di akhirnya semuanya adalah pilihan kita.

Buatlah pilihan yang baik untuk dirimu dan pelajarmu.

Sunday, December 21, 2008

Santai: Teruskan Kecemerlangan itu

Khamis, 18 Disember yang lalu, telah diadakan Majlis Makan Malam sempena Minggu Kualiti peringkat kampus. Bersekali dengan majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah khidmat cemerlang dan anugerah khidmat setia bagi mereka yang telah berkhidmat selama 20, 25 dan 30 tahun.

Mereka ini antara yang mendapat anugerah cemerlang. Tahniah diucapkan.



L-R: Datin Hjh. Wan Esah, Fathiyah (bukan penerima), Anita, 'Atiqah Rashidah dan Normawati


Bersama Anita dan Normawati

Sedihnya, fakulti kami tiada siapa yang tercalon. Mungkin KP tak percaya dengan kerja-kerja anak buahnya, kot!


Cemerlang selalunya diukur dengan penghasilan kerja yang dibuat. Namun, cara kerja dibuat tidak akan menjadi persoalan kerana siapa yang akan kisah dengan jalan kerja kalau end nya sangat memuas hati?

Adakah daku bitter?

Tidak. Cumanya kadang-kadang tidak dapat menahan diri dari membanding penerima hadiah tersebut dengan kualiti kerjanya (mereka yang di dalam gambar itu tidak perlu khuatir dengan pandangan ini kerana mereka sememangnya layak menerimanya!).

Pernah juga daku mendengar, ada yang dicalon mendapat anugerah berdasarkan 'sentimen kawan' - maksudnya, semasa si A menjadi ketua, dia melobi B untuk mendapat anugerah walau kualiti kerja B tiada langsung. Dan, ketika si B menjadi ketua, it is pay back time -- lagi sekali, kualiti kerja tidak diambil kira.

Menjaga kecemerlangan adalah cabaran yang besar berbanding usaha mendapatkannya. Ia pasti akan menjadi kayu ukur terhadap pekerjaan yang kita lakukan kemudian hari. Namun, ia juga satu bentuk motivasi yang sangat bagus untuk memberikan yang terbaik.

Pada mereka yang menerima anugerah dengan sebenar usaha dan kecemerlangan itu, tahniah diucapkan. Moga kecemerlangan itu akan berkekalan dalam pelbagai bidang.

Bagi yang belum terbukti cemerlang seperti daku ini ... (well, I save the best for the last! .. huhu) ... daku akan terus menjalankan tugas dengan sepenuh hati. Mungkin ganjarannya tidak nampak di mata, tapi bertaburan di jalan hidup kita yang selainnya.

Andai diiktiraf, berbangga dan teruskanlah kecemerlangan itu.

Andai tidak, berlapang dada, dan cubalah untuk terus memberi kerana ibarat kata Ustaz Hasrizal, "erti hidup dengan memberi".

My eyes are green with envy ... tapi orang tak perasan .. sebab semuanya pakai baju hijau ... ahaks!

Tahniah dan tahniah lagi untuk anda semua!

Friday, December 19, 2008

Santai: Bagaimana result kamu?

Sedari semalam, handphone ku 'bertali arus' (wuhuuu) menerima sms daripada students yang berjaya (baca: lulus) dalam exam yang lepas. Macam-macam bentuk ucapan diterima. Ada setengahnya tak sanggup daku terima. Haih.

Begitulah selalunya, kan?

Sekiranya kita berjaya, kita selalu rasa terhutang kejayaan kita dengan orang di sekeliling kita. Well, tak payah hairan, kerana orang Malaysia ini antara yang tergolong dalam kelompok collectivism - kata Hofstede. Siapa dia, tanya Prof. Google.

Tapi, bagaimana kalau tidak berjaya?

Kita akan nisbahkan kepada orang lain juga. Sebelum akhirnya menyalahkan diri, kita akan sebolehnya menuding kepada orang lain -- lebih-lebih lagi kepada yang 'bertanggungjawab' menyumbang kepada kegagalan itu.

Daku tidak kisah - sama ada dikau mahu suka atau benci daku kerana keputusan exam mu itu, kerana daku percaya setiap keputusan yang dikau raih, dikaulah penentu.

Dikau dapat A atau E sekalipun, dikau yang menentukannya. Daku tidak lebih sekadar menilai apa yang dikau fikir dan luahkan di kertas itu. Daku tidak mengira peribadimu untuk menggagal atau meluluskanmu. Daku tidak menggagalkan dikau walau dikau amat kubenci (uhuh!)

Tapi tidak mengapa. Marah kalau itu yang dikau mahu. Moga dikau lebih mahu berusaha untuk terus berjaya di masa hadapan.

Good luck!