Terkedu membaca berita ini. Tambah terkedu bila "abang misai" yang cakap. Oh, sungguh membimbangkan ni!
Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah, sebahagian besar penyelidikan yang tidak dimanfaatkan kini tersimpan di stor dan tidak digunakan untuk pembangunan negara.
Beliau hairan mengapa keadaan itu berlaku sedangkan mengikut pemerhatiannya, banyak penyelidikan tersebut mempunyai nilai komersial.
''Pada saya kemungkinan perkara ini berlaku kerana ramai pensyarah atau penyelidik melakukan penyelidikan hanya untuk mendapat kenaikan pangkat tanpa menyedari ia bermanfaat jika dikomersialkan.
''Ini satu pembaziran wang kerajaan. Kalau pensyarah nak buat penyelidikan, buatlah tetapi bukan semata-mata untuk kenaikan pangkat. Ia tidak berfaedah," ujarnya.
Sebenarnya, isu ini juga pernah daku perbincangkan dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Kadang-kadang menjadi satu persoalan di hati kami ini mengenai sesetengah pensyarah yang aktif membuat penyelidikan yang apabila penyelidikan itu kita baca semacam tak punya standard. Bukanlah kita ini mendengkikan hasil tulisan mereka, tapi ... sementelah semua penyelidikan adalah berdasarkan geran institusi, pastinya institusi berhak menuntut hasil yang baik.
Kadang-kadang, kajian segelintir mereka-mereka ini tak ubah seperti kajian pelajar diploma, malah lebih teruk daripada itu. Namun, ia tetap lulus sebagai sebuah kajian.
Kalau perkara itu diutarakan pasti akan ada yang membuat ulasan, "tak komersial ke, buruk ke, tak menepati standard ke, janji aku tulis dan ada hasil penulisan. Cukup jam nanti, aku boleh naik pangkat. Kalau kau tulis baik sangat, kenapa sampai sekarang kat situ juga tempat kau?"
Baru-baru ada teman memberitahu mengenai sesuatu tentang PTK. Teman itu sedang mencuba untuk penilaian TK5. Maka banyaklah keperluan untuk proses itu - antaranya perlu menyediakan proposal research untuk dibentangkan di hadapan panel nanti. Teman tadi berasa gusar, kerana dia masih tiada tajuk yang sesuai. Tapi, sesuatu yang mengejutkan apabila ada teman lain yang akan turut ke PTK itu juga mendaftarkan research yang telah disiapkan - yang telah dibentangkan untuk pelbagai tujuan, kenaikan pangkat ataupun pengesahan jawatan. Alasan mereka yang berbuat demikian, cara begitu lebih senang kerana mereka pasti boleh defend 'proposal' itu bila diasak oleh panel.
Terlintas di benakku, yang menjadi panel itu semua adalah yang berpangkat profesor. Takkanlah dungu sangat profesor-profesor itu sampai tak boleh membezakan pembentangan research yang masih bersifat "proposal" dengan research yang sudah siap? Melainkan profesor-profesor itu juga dalam golongan kong-kali-kong putar alam, lepaslah mereka.
Daku juga hairan kenapa mereka yang memanggil diri mereka ahli akademik tegar berbuat demikian. Terdesak sangatkah nak naik pangkat hingga sanggup menipu? Tidak sedarkah mereka perbuatan itu sama tahapnya seperti mengingkari sebuah amanah? Andai mereka lulus PTK dan menerima anjakan gaji, berkatkah duitnya?
Ya, persoalan amanah dan keberkatan mungkin soal mereka dengan Tuhan. Namun, perkara itu bersangkutan dengan manusia lain juga. Menerima sesuatu yang bukan hak kita, ertinya menzalimi hak orang lain. Sekiranya yang dizalimi itu tidak memaafkan, besar impaknya kepada penzalim.
Dari sisi yang lain, daku berasa aman dengan kenyataan Abang Misai - kerana daku ada alasan kuat kenapa daku tiada research -- tak cukup kuat lagi untuk dikomersialkan. Namun, daku tidak sanggup untuk bergembira sangat, kerana semua ini sebahagian daripada tugasan ahli akademik. Moga Allah memberikan daku kekuatan untuk melakukan semua ini.
P/s: Daku pernah merasakan research yang daku buat untuk tujuan pengesahan jawatan adalah research yang paling 'cokia' sekali. Namun, setelah disemak, penilai siap letak remark -- Berpotensi untuk dikomersialkan. Tapi, daku masih tiada keberanian untuk mengkomersialkannya kerana daku masih rasa ia 'cokia'. Next research, may be.