Friday, January 21, 2011

Santai: Bila kebaikan tidak pernah wujud

Entri pertama!

Saat daku mula menulis ini, ada rasa yang tercuit, ada fikir yang membelit - namun, terima kasih kepada rasa begitu, daku boleh buat entri ... hehehe.

Daku tidak pernah menjangkakan bahawa bagaimana cara daku mengendalikan kelas membuatkan daku menjadi pensyarah paling teruk sekali. Selama 7 tahun di bidang ini, cerita geram-geram, marah-marah sayang dari pelajar terhadapku kerana daku suka 'mengusik' sahaja yang sering kudengar. Tapi, apa yang berlaku di permulaan tahun ini sedikit mengocak. Tidak menjejaskan, tapi bagai dikata, ada rasa tercuit sikit.

Daku rupanya tidak sedar perbuatan menegah pelajar daripada masuk kelas bila mereka lewat dariku, atau bertanyakan soalan semasa perbincangan dan menyuruh mereka melakukan kerja adalah perkara yang tidak digemari pelajar. Dan, bukan setakat itu, disebabkan melakukan perkara-perkara itu, daku adalah pensyarah 'garang nak mampos'!

Nampaknya, segala yang daku lakukan itu adalah perkara yang bolehlah daku ibaratkan sebagai perkara 'syok sendiri' - sendiri buat, sendiri rasa macam bagus. Kemungkinan besar, perkara-perkara itu faedahnya untuk daku sahaja, bukan untuk mereka. Daku buat kerja, kerana daku yang akan jawab final exam. Daku buat latihan elok-elok adalah kerana daku yang akan dapat diploma nanti!

Ketaranya mereka lebih suka kepada pensyarah yang tidak kisah apa yang mereka mahu lakukan. Yang mungkin tidak kisah kalau mereka tak buat kerja, yang tidak kisah untuk mereka datang ke kelas lambat, tapi bila tiba masa penilaian, markah setiap orang hampir 'perfect'.


Daku pernah diminta oleh seorang pensyarah lain supaya terus-menerus bersikap tegas kepada pelajar kerana katanya dia tidak boleh jadi sepertiku. Katanya lagi, oleh sebab pelajar-pelajar telah terbiasa denganku yang tegas, kerjanya jadi sedikit mudah.

Kutanyakan pada dia dalam nada gurauan, "Jadi, I ni kena jadi bad cop dan you get all the perks of becoming good cop?"

Dia tersengih sahaja - dan dia memang mengaku dia tidak 'sampai hati' nak marah pelajar.

Kembali ke cerita asal.


Pada sem ini, kelas dibuka dengan banyak supaya pelajar dapat belajar selesa dengan ratio 1:30. Namun, oleh kerana ramai yang fobia dan menyampah denganku, ramai yang mendaftar di kelas pensyarah pujaan mereka. Daku sememangnya tiada masalah. Yang menjadi masalah, apabila mereka memilih pensyarah yang mereka suka, jumlah dalam kelas akan menjadi tidak seimbang. Dan, yang affected bukan daku sahaja, malah semua yang mengajar.

Apabila rungutan ini tiba, daku bertindak meminta penasihat akademik (PA) masing-masing memasukkan nama mereka mengikut kumpulan asal mereka (pelajar-pelajar ini telah dibahagikan mengikut kumpulan semasa mereka mula masuk mendaftar). Maka, ramailah yang 'meroyan' kerana ada yang memang mahu mengelak daripada masuk ke kelasku at any cost. Sampai sanggup pergi menipu kepada PA bahawa sekiranya mereka mendaftar di kelasku, jadual mereka akan clash - sedangkan daku yang menyusun jadual mereka dan tersangatlah maklum mana yang clash dan mana yang tidak.

Dan, ada juga kes yang sms ku memberitahu sekiranya dia kena masuk kelasku, dia akan pergi berjumpa pengarah untuk buat rayuan kerana dia akan berasa tension belajar denganku. Kiranya sampai sanggup terjun bangunan daripada nak belajar denganku. Yang paling best, remark akhirnya berbunyi:

"Duk kelas miss susah nak skor ..."


Bila kusemak keputusan exam sem lepas pun, skornya setakat C untuk hampir semua subjek dan berstatus gagal untuk subjek ku.

Ada lagi yang menarik, bila ada rakan sekerja yang menyampaikan bahawa apabila diberitahu mereka harus tetap mendaftar di kumpulan kelas asal, memaki-maki namaku di luar bilik.
"Fisha punya pasal lah ni. Bangang!"


Maksudnya apa?

Segala kegagalannya akulah penyebabnya. Dia tak boleh skor, aku puncanya. Dia gagal, aku puncanya. Dia tidak pernah salah. Tidak pernah.

Sikap begini acap kutemui. Namun, paling ketara pada pelajar batch yang terkini. Pastinya aku juga penyumbang kepada kegagalan mereka. Tapi, menyalahkan aku sepenuhnya? Daku memang tidak akan punyai apa-apa pilihan dengan mereka.

Untuk pelajar-pelajar ini, daku halalkan apa sahaja yang daku tafsirkan ilmu kepada mereka. Daku doakan yang terbaik untuk mereka. Dan, andai akhirnya mereka 'masuk' ke kelasku, daku akan berikan apa yang mereka mahu - tidak akan tanyakan mereka apa-apa, tidak akan suruh mereka buat apa-apa dan tidak akan bertanggungjawab apa-apa dengan mereka.


Persoalannya, mampukah daku membiarkan mereka begitu?


Biarlah masa menentukan.


Perjuanganku lebih mudah kerana mengusir penjajah, tapi perjuangan kamu akan lebih sulit kerana melawan bangsamu sendiri! – Bung Karno